Wednesday 28 March 2012

#FreeEducation !


Kebelakangan ini, gendang PRU 13 sudah mula diketuk oleh ahli-ahli politik negara. Ceramah fitnah dan balas sudah mula menjelajah seluruh negara. Dari Sabah ke Perlis. Ada wakil-wakil rakyat yang sanggup menaiki sampan memasuki kampung-kampung di pedalaman, ada juga yang tidak ada segan malu menggunakan helikopter kerajaan berkempen untuk parti masing-masing. Maka bila ceramah sudah bermula, bukan fitnah sahaja ditabur, janji juga mulalah bersidai. Dari harga minyak hingga ke PTPTN. Tidak ada satu yang terlepas, demi reformasi kerajaan kata mereka.

Aku tidak berminat sangat nak cerita pasal harga minyak, tol, elektrik, air dan lain-lain. Jawapan itu ada, kefahaman itu sampai tapi bagi aku, bapak kepada semua kejayaan sesebuah bangsa adalah pendidikan. Tanpa sistem pendidikan yang mantap, macam mana muda mudi hari ini nak memacu kemajuan negara kita? Tak guna berceramah sana sini, tak guna pacak bendera dacing dan keris sepanjang kilometer kalau kata-kata muda-mudi tunggak harapan negara itu hanya retorik belaka. Bukan hendak menunding jari, mencari kesalahan, tapi aku menulis untuk memangkin kesedaran rakyat, lebih lagi yang sebaya aku, masih menuntu di IPT.

Pakatan Rakyat telah mengumumkan janji mereka yang terbaru, sekiranya mereka menawan Putrajaya, PTPTN akan dibubarkan. Oleh sebab itu aku terpanggil untuk tulis mengenai #FreeEducation! Kenapa ada hashtag bagai tu? Haha, aku nak sesiapa yang ada twitter, hangatkan isu ini, biar sekali sekala ada juga trends bermanfaat. Ada yang setuju PTPTN dibubarkan, ada yang kata, cukuplah sekadar dihapuskan bunganya sahaja, ada juga yang termakan dengan hasutan bahawa jikalau PTPTN dibubarkan kerajaan jatuh papa kedana. Bagi aku yang menulis ini, 100 peratus bersetuju PTPTN harus dibubarkan. Lebih lagi dari itu, pendidikan di tahap IPT patut diberikan percuma kepada smeua rakyat Malaysia yang layak.

Kalau aku ditanyakan, negara apa yang patut menjadi role model pada negara-negara membangun macam Malaysia. Dalam kepala aku bukan Amerika, bukan British, bukan Perancis. Tapi aku pilih dua negara yang terletak di utara eropah, Norway dan Finland. Kenapa dua negara ini jadi pilihan aku pula? Pertamanya, kedua-dua negara ini bukan kuasa dunia, tidak adil untuk kita membandingkan negara biasa dan kuasa dunia. Kuasa-kuasa dunia seperti Amerika, China, Russia sedah bertapak sekian lama, sudah berkuasa di seluruh dunia sangat lama. Kedua, jikalau dilihat pada GDP per capita negara Norway dan Finland, mereka mencatitkan nilai 3-4 kali ganda lebih dari Malaysia. Itu sangat mengagumkan sebenarnya. Bedasarkan fakta oleh IMF dan World Bank, Norway kini menghuni tempat ke-4 dari segi GDP per capita, Amerika pun tempat ke-7.

Apa kaitannya GDP semua ini? GDP sering digunakan untuk membandingkan taraf kehidupan rakyat di sesebuah negara. Bukankah kerajaan yang baik itu kerajaan yang melengkapi kehidupan rakyat mereka? Antara punca kejayaan mereka ialah sistem pendidikan percuma. Tahun 2011, Finland membuktikan bahawa mereka merupakan negara yang terbaik dalam aspek pendidikan. Mereka menyedikan pendidikan percuma untuk seluruh rakyat mereka, dari pendidikan rendah hingga pengajian tinggi. Kaya, sederhana, miskin, selagi mana mereka memegang warganegara Finland mereka berhak mendapatkan pendidikan percuma sepenuhnya. Malahan, langkah ini sudah mula diserap banyak negara seluruh dunia termasuk Sweeden, Denmark, Morocco dan banyak lagi. Mereka ingin melahirkan lebih ramai manusia celik ilmu, mereka inginkan generasi-generasi yang mendapat pendidikan sempurna, agar masa depan negara mereka terjamin.

Berbalik pada isu, Malaysia juga sebenarnya sudah dalam keadaan matang untuk melaksanakan sistem pendidikan percuma. Berapa ramai dari rakyat kita yang sudah terbeban dengan kos kehidupan yang semakin meningkat. Tambahan lagi kos pendidikan anak-anak. Bagi yang mendapat bantuan PTPTN mampu menghela nafas lega sebentar, namun tamat sahaja pengajian, mulalah pening-pening kepala. Hendak bayar hutang kereta, sewa rumah, kenduri kahwin, keluarga baru, minyak dan tol, hutang pendidikan lagi. Bagaimana kita hendak menghasilakn rakyat yang cemerlang kalau mereka terbeban dengan terlalu banyak hutang? Bila hutang mula mengelilingi, produktiviti individu pasti berkurangan kerana stress. Maka lahirlah rakyat yang pasif dan tiada wawasan. Rakyat begini yang kita harapkan untuk memacu negara?

Berapa ramai orang-orang di kampung dan pedalaman yang tidak berkemampuan menghantar anak-anak mereka ke pusat pengajian tinggi? Berapa ramai yang terpaksa menggadai tanah, rumah dan barang kemas untuk membiayai pelajaran anak-anak. Bagi yang duduk di bandar, berkereta mewah, berumah besar bolehlah bercakap itu ini, tidak relevan dan sebagainya. Adakah puak ini merasa kesusahan rakyat-rakyat di kampung dan pedalaman? Kesusahan dan penderitaan rakyat patut menjadi keutamaan kerajaan. Siapa tahu, mungkin ada yang bakal-bakal pemimpin, saintis, dan cendikawan yang lahir dalam keluarga miskin. Jikalau mereka tidak diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan, terhapuslah segala bakat dan impian mereka. Setiap rakyat yang dibiyai ole kerajaan untuk mendapatkan pendidikan sempurna itu adalah pelaburan kerajaan yang pastinya membuahkan hasil yang lumayan. Hasilnya ialah generasi yang berpendidikan, berkebolehan memimpin dan barulah benar-benar mampu menjadi tunggak kejayaan negara.

Aku mula nampak dan menghargai sistem pendidikan percuma apabila aku tiba di Russia. Sistem pendidikan di sini masih lagi menggunakan sistem yang sama bawah pemerintahan komunis di zaman Soviet Union. Banyak sebenarnya yang aku telah belajar dari sistem komunis ini, mereka mengutamakan kehendak rakyat melebihi yang lain. Antara kehendak rakyat ialah pendidikan. Semua rakyat Russia hari ini menikmati pendidikan secara percuma. Selepas tamat persekolahan, mereka diberi dua pilihan, menyambung pelajaran atau menyertai tentera. Menyertai tentera bukan bermakna tak perlu belajar, masih belajar. Mereka di hantar ke universiti yang bersesuaian dengan tugas mereka. Semuanya adalah percuma, satu sen tidak perlu dibelanjakan. Tamat sahaja persekolahan mereka akan pergi ke universiti yang mereka minati dan akan menduduki peperiksaan kemasukan di sana. Sekiranya layak, mereka akan menjadi pelajar universiti tersebut. Satu sen tak keluar. Malahan mereka dapat elaun, walaupun sikit tapi masih dapat, cukuplah nak beli alatan tulis dan buku nota. Haha.

Ada yang kata, sekiranya diberi pendidikan secara percuma, rakyat akan mengambilnya secara mudah sekali gus persaingan antara mereka akan terbantut. Aku menolak kenyataan ini 120 peratus. Sebab hari ini kita lihat, adakah pelajar-pelajar di IPTA bertungkus lumus belajar atau banyak yang main-main sahaja? Ianya tiada kena mengena antara percuma atau tidak, ianya masalah attitude. Aku ambil contoh sekali lagi Russia. Pelajar di sini, macam pemuda di negara-negara lain. Suka bergembiran, tak belajar, main-main, bila dah nak exam baru terkejar-kejar cari buku, siapkan kerja. Nak tahu apa jadi kalau mereka tak lepas exam? Kalau mereka tak lepas exam, mereka kena BAYAR untuk kelas tambahan. Jadi wujud lagi persoalan persaingan? Taknak belajar betul-betul, bayar untuk kelas tambahan. Maka ramai yang mengelak membayar dengan belajar. Maka kata-kata persaingan akan terbantut ini permainan kanak-kanak, cubaan untuk menakutkan dan memperbodohkan rakyat.

Adakah Malaysia akan jatuh bankrup sekiranya kita memberi pendidikan percuma? Aku nak semua fikir ini, kita merupakan pengeluar petroleum termahal di dunia, petroleum Tapis Blend merupakan petroleum paling mahal yang dihasilakn Petronas. Keuntungan Petronas setahun mencecah 80 billion USD. Takkan masih tak cukup untuk membiayai pendidikan rakyat kita? Itu tidak kira lagi ketirisan kerajaan yang mampu dimanfaatkan semula. Aku nak cakap satu perkara terakhir untuk semua fikirkan dan renung lama-lama. Kalau negara kita bankrup, tapi kita sudah beri pendidikan kepada semua rakyat Malaysia, insyaAllah, kita sudah mempunyai jentera yang bijaksana dan cemerlang untuk membangunkan negara semula, tapi kalau negara bankrup kerana menjaga kroni dan tokey, apa yang kita ada?



No comments:

Post a Comment