Wednesday 28 March 2012

#FreeEducation !


Kebelakangan ini, gendang PRU 13 sudah mula diketuk oleh ahli-ahli politik negara. Ceramah fitnah dan balas sudah mula menjelajah seluruh negara. Dari Sabah ke Perlis. Ada wakil-wakil rakyat yang sanggup menaiki sampan memasuki kampung-kampung di pedalaman, ada juga yang tidak ada segan malu menggunakan helikopter kerajaan berkempen untuk parti masing-masing. Maka bila ceramah sudah bermula, bukan fitnah sahaja ditabur, janji juga mulalah bersidai. Dari harga minyak hingga ke PTPTN. Tidak ada satu yang terlepas, demi reformasi kerajaan kata mereka.

Aku tidak berminat sangat nak cerita pasal harga minyak, tol, elektrik, air dan lain-lain. Jawapan itu ada, kefahaman itu sampai tapi bagi aku, bapak kepada semua kejayaan sesebuah bangsa adalah pendidikan. Tanpa sistem pendidikan yang mantap, macam mana muda mudi hari ini nak memacu kemajuan negara kita? Tak guna berceramah sana sini, tak guna pacak bendera dacing dan keris sepanjang kilometer kalau kata-kata muda-mudi tunggak harapan negara itu hanya retorik belaka. Bukan hendak menunding jari, mencari kesalahan, tapi aku menulis untuk memangkin kesedaran rakyat, lebih lagi yang sebaya aku, masih menuntu di IPT.

Pakatan Rakyat telah mengumumkan janji mereka yang terbaru, sekiranya mereka menawan Putrajaya, PTPTN akan dibubarkan. Oleh sebab itu aku terpanggil untuk tulis mengenai #FreeEducation! Kenapa ada hashtag bagai tu? Haha, aku nak sesiapa yang ada twitter, hangatkan isu ini, biar sekali sekala ada juga trends bermanfaat. Ada yang setuju PTPTN dibubarkan, ada yang kata, cukuplah sekadar dihapuskan bunganya sahaja, ada juga yang termakan dengan hasutan bahawa jikalau PTPTN dibubarkan kerajaan jatuh papa kedana. Bagi aku yang menulis ini, 100 peratus bersetuju PTPTN harus dibubarkan. Lebih lagi dari itu, pendidikan di tahap IPT patut diberikan percuma kepada smeua rakyat Malaysia yang layak.

Kalau aku ditanyakan, negara apa yang patut menjadi role model pada negara-negara membangun macam Malaysia. Dalam kepala aku bukan Amerika, bukan British, bukan Perancis. Tapi aku pilih dua negara yang terletak di utara eropah, Norway dan Finland. Kenapa dua negara ini jadi pilihan aku pula? Pertamanya, kedua-dua negara ini bukan kuasa dunia, tidak adil untuk kita membandingkan negara biasa dan kuasa dunia. Kuasa-kuasa dunia seperti Amerika, China, Russia sedah bertapak sekian lama, sudah berkuasa di seluruh dunia sangat lama. Kedua, jikalau dilihat pada GDP per capita negara Norway dan Finland, mereka mencatitkan nilai 3-4 kali ganda lebih dari Malaysia. Itu sangat mengagumkan sebenarnya. Bedasarkan fakta oleh IMF dan World Bank, Norway kini menghuni tempat ke-4 dari segi GDP per capita, Amerika pun tempat ke-7.

Apa kaitannya GDP semua ini? GDP sering digunakan untuk membandingkan taraf kehidupan rakyat di sesebuah negara. Bukankah kerajaan yang baik itu kerajaan yang melengkapi kehidupan rakyat mereka? Antara punca kejayaan mereka ialah sistem pendidikan percuma. Tahun 2011, Finland membuktikan bahawa mereka merupakan negara yang terbaik dalam aspek pendidikan. Mereka menyedikan pendidikan percuma untuk seluruh rakyat mereka, dari pendidikan rendah hingga pengajian tinggi. Kaya, sederhana, miskin, selagi mana mereka memegang warganegara Finland mereka berhak mendapatkan pendidikan percuma sepenuhnya. Malahan, langkah ini sudah mula diserap banyak negara seluruh dunia termasuk Sweeden, Denmark, Morocco dan banyak lagi. Mereka ingin melahirkan lebih ramai manusia celik ilmu, mereka inginkan generasi-generasi yang mendapat pendidikan sempurna, agar masa depan negara mereka terjamin.

Berbalik pada isu, Malaysia juga sebenarnya sudah dalam keadaan matang untuk melaksanakan sistem pendidikan percuma. Berapa ramai dari rakyat kita yang sudah terbeban dengan kos kehidupan yang semakin meningkat. Tambahan lagi kos pendidikan anak-anak. Bagi yang mendapat bantuan PTPTN mampu menghela nafas lega sebentar, namun tamat sahaja pengajian, mulalah pening-pening kepala. Hendak bayar hutang kereta, sewa rumah, kenduri kahwin, keluarga baru, minyak dan tol, hutang pendidikan lagi. Bagaimana kita hendak menghasilakn rakyat yang cemerlang kalau mereka terbeban dengan terlalu banyak hutang? Bila hutang mula mengelilingi, produktiviti individu pasti berkurangan kerana stress. Maka lahirlah rakyat yang pasif dan tiada wawasan. Rakyat begini yang kita harapkan untuk memacu negara?

Berapa ramai orang-orang di kampung dan pedalaman yang tidak berkemampuan menghantar anak-anak mereka ke pusat pengajian tinggi? Berapa ramai yang terpaksa menggadai tanah, rumah dan barang kemas untuk membiayai pelajaran anak-anak. Bagi yang duduk di bandar, berkereta mewah, berumah besar bolehlah bercakap itu ini, tidak relevan dan sebagainya. Adakah puak ini merasa kesusahan rakyat-rakyat di kampung dan pedalaman? Kesusahan dan penderitaan rakyat patut menjadi keutamaan kerajaan. Siapa tahu, mungkin ada yang bakal-bakal pemimpin, saintis, dan cendikawan yang lahir dalam keluarga miskin. Jikalau mereka tidak diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan, terhapuslah segala bakat dan impian mereka. Setiap rakyat yang dibiyai ole kerajaan untuk mendapatkan pendidikan sempurna itu adalah pelaburan kerajaan yang pastinya membuahkan hasil yang lumayan. Hasilnya ialah generasi yang berpendidikan, berkebolehan memimpin dan barulah benar-benar mampu menjadi tunggak kejayaan negara.

Aku mula nampak dan menghargai sistem pendidikan percuma apabila aku tiba di Russia. Sistem pendidikan di sini masih lagi menggunakan sistem yang sama bawah pemerintahan komunis di zaman Soviet Union. Banyak sebenarnya yang aku telah belajar dari sistem komunis ini, mereka mengutamakan kehendak rakyat melebihi yang lain. Antara kehendak rakyat ialah pendidikan. Semua rakyat Russia hari ini menikmati pendidikan secara percuma. Selepas tamat persekolahan, mereka diberi dua pilihan, menyambung pelajaran atau menyertai tentera. Menyertai tentera bukan bermakna tak perlu belajar, masih belajar. Mereka di hantar ke universiti yang bersesuaian dengan tugas mereka. Semuanya adalah percuma, satu sen tidak perlu dibelanjakan. Tamat sahaja persekolahan mereka akan pergi ke universiti yang mereka minati dan akan menduduki peperiksaan kemasukan di sana. Sekiranya layak, mereka akan menjadi pelajar universiti tersebut. Satu sen tak keluar. Malahan mereka dapat elaun, walaupun sikit tapi masih dapat, cukuplah nak beli alatan tulis dan buku nota. Haha.

Ada yang kata, sekiranya diberi pendidikan secara percuma, rakyat akan mengambilnya secara mudah sekali gus persaingan antara mereka akan terbantut. Aku menolak kenyataan ini 120 peratus. Sebab hari ini kita lihat, adakah pelajar-pelajar di IPTA bertungkus lumus belajar atau banyak yang main-main sahaja? Ianya tiada kena mengena antara percuma atau tidak, ianya masalah attitude. Aku ambil contoh sekali lagi Russia. Pelajar di sini, macam pemuda di negara-negara lain. Suka bergembiran, tak belajar, main-main, bila dah nak exam baru terkejar-kejar cari buku, siapkan kerja. Nak tahu apa jadi kalau mereka tak lepas exam? Kalau mereka tak lepas exam, mereka kena BAYAR untuk kelas tambahan. Jadi wujud lagi persoalan persaingan? Taknak belajar betul-betul, bayar untuk kelas tambahan. Maka ramai yang mengelak membayar dengan belajar. Maka kata-kata persaingan akan terbantut ini permainan kanak-kanak, cubaan untuk menakutkan dan memperbodohkan rakyat.

Adakah Malaysia akan jatuh bankrup sekiranya kita memberi pendidikan percuma? Aku nak semua fikir ini, kita merupakan pengeluar petroleum termahal di dunia, petroleum Tapis Blend merupakan petroleum paling mahal yang dihasilakn Petronas. Keuntungan Petronas setahun mencecah 80 billion USD. Takkan masih tak cukup untuk membiayai pendidikan rakyat kita? Itu tidak kira lagi ketirisan kerajaan yang mampu dimanfaatkan semula. Aku nak cakap satu perkara terakhir untuk semua fikirkan dan renung lama-lama. Kalau negara kita bankrup, tapi kita sudah beri pendidikan kepada semua rakyat Malaysia, insyaAllah, kita sudah mempunyai jentera yang bijaksana dan cemerlang untuk membangunkan negara semula, tapi kalau negara bankrup kerana menjaga kroni dan tokey, apa yang kita ada?



Wednesday 21 March 2012

Dear SPM Leavers


assalamualaikum,

Alhamdulillah, semua debaran dah selesai. Berbulan-bulan dan berbagai proses dilalui untuk mencetak sekeping slip, ber-Grade yang akhirnya sudah diterima oleh setiap calon SPM 2011. Dulu aku nak pergi ambil sekeping kertas itu pun terketar-ketar. Gementar, tak boleh tidur. Macam-macam perasaan. Tapi perasaan-perasaan tu hanya sebagai drama pengisi hidup kita. Bagi cantik sikit apabila dikenang nun suatu hari nanti.

Tapi apabila dah terima slip itu, sebenarnya masa terlalu singkat untuk kalian bergembira atau pun untuk ditangisi. Masa depan sedang menunggu anda di hadapan. Kini dunia sebenar sedang menunggu di luar. Tersilap langkah, banyak lobang-lobang, gaung, curam menunggu di luar. Kini masa untuk merealisasikan impian-impian anda bermula dengan selangkah yang akan anda mulakan. Bukan ibu bapa atau guru-guru lagi. Bukan pakcik makcik yang selalu bebel tepi telinga suruh jadi doktor, engineer dan lain lain.

Bagi mereka yang berjaya.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian kepada tuhan yang Esa. Yang menentukan masa silam dan masa depan kalian. Yang menentukan rancangan-rancangan kalian tercapai atau sebaliknya.
TAHNIAH! Wajib lah aku pun nak ucapkan perkataan ini kepada kalian yang dapat 10,9,8,7,6,5,4,3,2,1A atau pun yang tiada A. Anda semua berjaya. Anda berjaya memulakan apa yang anda lakukan, dan menamatkannya dengan berjaya. Bagi mereka yang tergolong dalam golong Pencapai Tinggi(High Achievers), dunia yang bakal anda hadapi selepas ini bukan lagi seperti di sekolah. Anda akan kembali menjadi sebiji telur, kosong, terpaksa bermula dari bawah. Tetapi kalian lebih bernasib baik ( aku tahu ada yang cakap bukan nasiblah, orang Islam x boleh percaya pada nasib lah, tapi kalau kau faham ayat aku ni seolah-olah mcm percakapan harian, bolehkan:D ). Kalian bakal ditawarkan belajar di IPT2 yang gah atau pun terkemuka baik di dalam mahupun di luar negara. Tetapi dasarnya tetap sama, anda tetap bermula dari semester 1, bermula dari tidak tahu. Kemudian perlahan-perlahan mendaki gunung impian anda. Laluan untuk anda akan menjadi lebih sukar, jauh lebih sukar dari rakan-rakan yang menuntut di IPT sederhana. Anda mungkin terpaksa mengorbankan hari minggu untuk kelas tambahan ataupun assignment yang bertimbun, anda mungkin terpaksa mengorbankan waktu malam anda yang cukup enak untuk melepak dia warung mamak. Tapi anda tidak perlu mengorbankan tidur malam lena anda. Jangan risau :) Aku bercakap secara am, kerana kebanyakan high achievers akan menceburi bidang-bidang yang memang memerlukan banyak pengorbanan, ataupun dalam bahasa masyarakat kita, bidang PROFESSIONAL. Aku bukan x suka nak guna perkataan profesional, cuma cara aku memahami perkataan itu berbeza, bagi aku semua bidang pekerjaan yang mendatangkan pendapatan tetap (halal dan berkualiti) merupakan bidang profesional. OK, lari tajuk. Jadi untuk kalian, mungkin kurang masalah bakal dihadapi untuk memasuki mana-mana jurusan yang diminati. Aku faham masalah utama sekarang ialah, mana satu hendak dipilih. Si ibu minta anaknya menjadi Jurutera, Si ayahanda meminta anaknya menjadi Doktor, Si Pakcik meminta anak buahnya menjadi Arkitek. Terlalu ragam manusia henda dituruti. Jangan risau, kejap lagi kita bincang masalah ini eh :)

Bagi mereka yang Kais Pagi Makan Pagi, Kais Petang Makan Petang.
Tahniah. Anda masih mampu makan tatkala pagi dan petang. Alhamdulillah. Rasa-rasanya tidak adil untuk aku mengadili, tahap pencapaian yang bagaimana yang boleh aku katakan Kais Pagi Makan Pagi, Kais Petang Makan Petang(KPMP x2) ni? Anda rasa keputusan anda bagaimana. Kalau boleh jangan drama sangat, tarik nafas dalam-dalam. Renung jauh ke dalam minda anda, keputusan anda ini agak-agaknya BAGUS atau ala-ala KPMP (x2). Untuk kalian yang boleh juga dikategorikan sebagai mid-achievers,(bukan aku nak kategori2kan orang, nak bagi faham sahaja, bolehkan :D ), anda masih mampu merealisasikan impian anda. Ibu bapa anda, pakcik makcik anda mungkin x banyak songeh dalam pilihan bidang anda. Mereka akan cuba menasihati berpada sahaja. Sekurang-kurangnya anda tidak tertekan seperti mereka yang sememangnya High-Achievers yang sentiasa ditekan dengan pelbagai nasihat dan pandangan. Masalah anda kini, IPT mana yang hendak dipilih. Mungkin anda tidak mempunyai ribuan pilihan, mungkin hanya belasan IPT menjadi target anda. Mungkin anda merasakan cabaran/kemungkinan untuk diterima oleh IPT amat tinggi, oleh kerana terlalu ramai manusia senasib dengan anda. Mungkin anda bercita-cita tinggi, ingin menjadi Angkasawan contohnya. Jangan berhenti, anda berada di landasan yang betul sekarang ini. Jangan tukar impian anda, kalau dah tertukar, BERHENTI BACA INI, DAN KEMBALI SEMULA KE MEMORI-MEMORI ANDA, SEGARKAN SEMULA CITA-CITA ANDA. GAMBARKANNYA DENGAN JELAS DAN VIVID. RASAKANNYA, BIARKAN SEMANGAT ITU MENGALIR DALAM BADAN ANDA SEMULA. Sekarang, selamat kembali bakal-bakal angkasawan ataupun apa juga profession impian anda. Anda mampu mencapainya, sebentar lagi kita sambung cerita kita. Anda kini merupakan perintis/bakal pilot, engineer, doktor, angkasawana, perdana menteri dll.

Bagi Mereka Yang Gagal.
Sampai bila kau nak kecewa? Kau percaya akan kemampuan diri kau tak? Kau mampu tak berjaya dalam diri kau? Jawapannya, YA KAU MAMPU. Kau perlu mengubah persepsi kau terhadap diri sendiri. Soalan cepu mas: 1)Sebelum kau melangkah ke dalam dewan peperiksaan, pernah tak terlintas dalam minda kau yang kau mampu mendapat straight A's? 2) Pernah tak kau bayangkan suasana di sekeliling anda sekiranya anda berjaya memperolehi straight A's? 3) Pernah x kau letakkan matlamat hidup kau?
Kalau jawapan kalian TIDAK untuk ketiga-tiga soalan ini. Jangan risau, masa yang dikurniakan Allah masih mencukupi untuk anda berubah. Jikalau anda tidak pernah membayangkan langsung situasi di atas mulakannya sekarang. Keluar dari kepompong dunia remaja anda sebentar, bayangkan masa depan anda, melangkah masuk ke dalam jiwa anda yang BERJAYA itu. Semua perubahan ini bermula dalam diri anda, bermula di minda anda sendiri. Sekarang laksanakan bayangan di minda anda, bermula dari turutan 3-2-1(soalan cepu mas tadi tu). Make up your own movies using your brain. Tuhan tak ciptakan otak sekadar untuk mengira atau mengenal, tuhan ciptakan otak sebagai senjata manusia. Imaginasi ini akan mengubah hidup anda. Anda pernah gagal, dan anda akan bangkit semula! Jangan pedulikan tomahan dan kata-kata orang. Pedulikan. Jikalau ulangi SPM jalan terbaik, jangan segan silu. Aku ada kawan yang repeat SPM, semata-mata ingin mengejar impiannya. Jangan kuburkan impian anda, bangkit, bangkit, bangkit. Berubah sekarang sebelum terlambat. Allah tidak akan membantu hambaNya, melainkan hamaNya sendiri yang ingin berubah. Tuhan beri kau kegagalan, sebagai bukti bahawa Dia masih cintai dikau. Orang lain takut akan kegagalan, tetapi kau bermula dari kegagalan. Thomas Edison, saintis agung yang mencipta bulb lampu yang pertama dan memegang hak cipta 1,092 patents yang lain, dalam usahanya merekacipta bulb lampu tersebut telah gagal beratus/beribu kali. Tetapi beliau berkata, bahawa setiap cubaan itu bukan kegagalan, tetapi pencapaian. Dengan cara ini beliau tahu bahawa bulb lampu tidak boleh dicipta menggunakan teori-teori tersebut. Maka secara tidak langsung, dia telah menyelamatkan saintis-saintis seluruh dunia dari mengulangi teori-teori yang sudah diketahui tidak membuahkan hasil.

Bidang apa hendak dipilih?
Soalan ini sudah tentu lebih sukar dari soalan SPM kan. Kecuali bagi mereka yang sudah merangka masa depan mereka awal-awal lagi. Tak mengapa, masa masih ada, jangan terlalu ghairah mengejar peluang belajar hingga tersilap langkah.
Sebenarnya, soalan ini sangat penting, di sini bermula titik tolak dalam kehidupan anda insyallah. Bidang yang ingin kita ceburi perlu dipilih dengan penuh teliti dan berhati-hati. Ramai antara kita yang menyangka, menjadi anak soleh, taat kepada ibu bapa ialah apabila mereka taat akan kehendak ibu bapa mereka dalam pilihan bidang yang bakal diceburi. Minta maaf, pendapat aku bercanggah.
Bagi aku, menjadi anak soleh, tidak semstinya meneruti seratus peratus kehendak ibu bapa. Perkara yang baik wajib ditaati. tetapi sekirannya melibatkan masa depan anda. Anda yang berhak memilih. Diri anda tahu bidang apa yang sesuai dengan jiwa dan sanubari anda. Aku bercakap secara am. Ada ibu bapa yang hebat dan bijaksana, memabantu anak-anak memilih bidang dengan tepat. Alhamdulillah, jikalau ibu bapa anda dari golongan tersebut, silakan, mereka mengenali anak mereka, dan mereka tahu apa yang terbaik. Tetapi ibu bapa tipikal di Malaysia ini mahukan anaknya menceburi bidang yang menawarkan kerja yang lumayan. Itu sahaja. Kebanykan menghendaki anak menjadi doktor atau jurutera. Tetapi jikalau diri anda bukan diri doktor atau jurutera, berbincanglah dengan kedua ibu bapa anda. Luahkan hasrat hati, mungkin anda berminat dengan fesyen, mungkin juga muzik, mungkin juga artkitek, mungkin juga Pilot dan lain lain.
Bayangkan, jikalau anda berhasrat untuk menggembirakan ibu bapa anda dengan pilihan orangtua mu, di pertengahan jalan anda sedari bahawa bidang itu tidak berpadanan dengan jiwa anda, anda gagal, jatuh dan bangkit, terasa sudah putus asa, dan akhirnya menjadi drop out. Adakah itu akan menggembirakan ibu bapa anda?

Luar atau Dalam Negara?
Persoalan ini selalunya bermain di fikiran pelajar-pelajar cemerlang terutamanya dari sekolah-sekolah berasrama (Kementerian & MARA). Anda mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding pelajar-pelajar lain untuk memohon tajaan atau pinjaman ke Universiti2 luar negara. Persoalan ini juga mungkin bermain dalam pemikiran mereka yang hendak menyambung pelajaran dalam bidang medik kerana mungkin di beberapa buah negara lain, kos menyempurnakan MBBS lebih murah berbanding di Malaysia.
Aku tidak pula mengatakan bahawa mereka-mereka yang dikategorikan mid-achievers ini tidak mampu pergi ke luar negara, tetapi fokus aku tertumpu kepada SPM Leavers. Seperti yang kita tahu, saban tahun, kerajaan dan syarikat-syarikat terkemuka di dunia menawarkan ribuan tajaan dan bantuan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Namun sejauh manakah pentingnya kita untuk menuntut di luar negara.
Bahagian ini aku lebih tumpukan kepada pelajar-pelajar sekolah berasrama kerana kalian mempunyai peluang yang lebih cerah. Aku rasa tidak perlu aku beri keterangan bagaimana hendak memohon dll kerana saya yakin anda paling arif dalam hal tersebut. Tetapi, perlu difahami, menuntut di luar negara bukan untuk pergi bersiar-siar ataupun melancong. Kita hendak pergi belajar. Kebiasaannya sesi permohonan bermula dengan temuduga. Bermula dari sinilah, ribuan manusia cemerlang atas kertas ini, mula melangkah dengan silap. Bukan cara mereka ditemu ramah. Tetapi tujuan mereka menghadiri temu ramah tersebut sudah terpesong. Memohon menyambung pelajaran ke luar negara bukan permainan yang boleh kita teka-teka, tembak-tembak. Kebanyakan pelajar lebih mementingkan DESTINASI PELANCONGAN mereka berbanding bidang yang mereka inginkan. Masing-masing menyimpan 1001 hasrat pergi ke negara-negara terkemuka seperti Amerika, UK, Australia. Sedangkan dalam beberapa bidang, mereka bukan yang terbaik. Sebagai contoh, berapa ramai pelajar-pelajar cemerlang atas kertas ini tidak mahu pergi ke India untuk menyambung pelajaran dalam bidang Medik sebagai contoh. Sedangkan mereka menyediakan platform terbaik untuk pelajar-pelajar medik menjadi doktor-doktor yang cemerlang.
Keputusan yang bakal diterima selepas temuduga juga adakalanya berbeza dengan yang dipohon. Dipohon kejuruteraan elektrikal, ditawarkan kejuruteraan mekanikal. Tetapi memandangakan peluang belajar di LUAR NEGARA lebih bernilai dari cita-cita anda, dengan hati terbuka tawaran ditandatangan. Dari mula lagi niat sudah terpesong. Apa kurangnya negara kita ini dibandingkan dengan negara luar?
Sepatutnya, bukan di mana kita hendak belajar menjadi aspirasi, tetapi apa yang hendak dipelajari itu yang dijadikan aspirasi. Bayangkan sahaja, anda ditawarkan belajar di UK, universiti yang tidaklah segah mana, dala bidang kejuruteraan Atom, namun anda bukanlah minat sangat hal-hal Atom ini. Anda dengan hati terbuka menerimanya, kerana well, UK weyh, UK. Dasar otak kita dah kena jajah, nak buat macam mana. Kalau anda hanya memintang glam, popular, keseronokan melancong, fikir-fikirkan semula, sengsara mununtut ilmu yang tidak diminati. Kita bakal bekerja dengan perkara yang bukan diminati seumur hidup kita. Bagaimana mungkin anda, yang telah dihantar oleh kerajaan untuk menuntut pelajaran di negara-negara maju ini, dapat menjadi pemangkin kejayaan negara. Kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk menghantar seorang pelajar ke UK mencecah jutaan ringgit.
Renung-renungkan, jikalau anda benar tahu, bidang apa yang anda minat, mula mengkaji, di manakah tempat yang terbaik untuk menyelami bidang itu. Jangan main hentam semborono membuat keputusan dalam hidup kalian. Kerajaan membelanjakan bukan, ratusan, bukan ribuan, tetapi hampir jutaan ringgit DUIT RAKYAT, agar kalian ini bakal menjadi pemangkin negara. Dalam atau luau bukan persoalan utama, tetapi di manakah saya mampu memperolehi pendidikan terbaik dalam bidang yang diminati itu patut menjadi fokus.

IPTA atau IPTS?
Persoalan ini sangat penting sebenarnya. Tetapi sebelum merungkai lebih lanjut, terkadang aku terfikir, mengapa kaum Melayu ini terlalu bergantung harap kepada institusi pendidikan kerajaan semata-mata. Langsung tidak heran hendak menoleh sebentar ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta. Takut, tidak mampu, kami orang miskin, ibu bapa kami kerja biasa-biasa sahaja dan ribuan alasan yang tidak pernah habis. IPTA atau IPTS, itu bukan persoalan seperti "Mampu atau Tidak". Ini bukan persoalan materialistik. Ini persoalan mendapatkan pendidikan yang terbaik. Keadaannya sama seperti persoalan belajar di dalam atau luar negara. Belajar di mana, apa kos yurannya, patut menjadi nombor ke 35. Yang patut diutamakan, di mana saya mampu mendapatkan pendidikan terbaik dalam bidang yang saya minati dan bersesuaian dengan keputusan saya.
Ramai antara kita, teruatamanya orang Melayu, tidak menoleh langsung ke pusat pendidikan yang dilabel IPTS. Dengar sahaja IPTS, kalau boleh hendak memegang sepanduk, KAMI TIDAK MAMPU, KAMI BUKAN ORANG KAYA, KAMI MENGHARAPKAN BANTUAN KERAJAN. Ideologi-ideologi yang patutnya ditepis jauh-jauh. Setiap IPT mempunyai kelebihan masing-masing. Ada yang hebat dalam bidang A tetapi kurang dalam bidang B. Ada yang hebat dalam bidang C, dan lebih lebih hebat dalam bidang D. Dan tidak boleh dipertikaikan juga kecemerlangan-kecemerlangan ini kebiasaannya dipelopori oleh IPTA. Makanya adalah lebih penting untuk kalian membuat kajian serba sedikit terlebih dahulu dalam memilih bidang yang ingin diceburi dan IPT yang menawarkan pendidikan terbaik. Apa yang kalian sedang tentukan ini ialah merancang masa hadapan. Agar suatu hari nanti anda semua tidak menoleh belakang dan mengeluh dengan penuh kesesalan. Perlu diambil perhatian juga, beberapa IPTS seperti UniKL menawarkan bantuan kewangan MARA. Jikalau anda memohon dalam Foundation in Engineering and Science(FIST) UniKL, anda hanya perlu membayar yuran pendaftaran dan seterusnya, segala kos pembelajaran dan sara diri ditanggung oleh mara, seterusnya apabila menyambung pelajaran di peringkat ijazah, anda diberi peluang untuk memohon bantuan dari MARA. Berdasarkan fakta, 90 peratus pelajar UniKL mendapat bantuan MARA. Untungnya apabila kita mendapat bantuan MARA, kita membayar semula pinjaman kita mengikut CGPA kita. Sekiranya bagus, mungkin tidak perlu membayar semula ataupun beberapa peratus sahaja. Ini merupakan fakta yang tidak disedari begitu ramai pelajar. UniKL MIAT sebagai contohnya meletakkan Gred yang sangat tinggi untuk lulus, iaitu 75 peratus. Tetapi disebabkan silibus pendidikan mereka menekankan praktikal, maka ianya tidaklah terlalu suakr untuk diperolehi, tapi memerlukan minat, passion dan semangat yang utuh.
Selain itu, Matrikulasi dan Asasi-asasi juga merupakan antara peluang kalian untuk melanjutkan pelajaran ke IPT yang cemerlang. Matrikulasi menekankan sistem pembelajaran kuliah dan tutor. Maksudnya, kita ada Kuliah, duduk ramai-ramai dengan lecture, dan kedua kelas tutor, ada kelas kecil, mungkin 20-30 orang, bergantung kepada kepadatan pelajar di Kolej Matrikulasi tersebut. Tetapi risiko tetap wujud. Sekiranya anda pelajar aliran Hayat (medik), anda dikehendaki memperoleh CGPA sekurang-kurangnya 3.8 ke atas. Itu hanyalah syarat kelayakan, tidak termasuk lagi saingan-saingan. Dengan kata mudah, CGPA 4.0, yakni CGPA maksimum merupakan syarat sah dan wajib melajutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran. Saingan yang terlalu tinggi, bebanan kerja yang banyak dan tekanan yang menimpa boleh menggugat prestasi. Tetapi saya yakin, kalau ada keazaman, kesungguhan hendak mencapai cita-cita, CGPA 4.0 bukanlah satu yang mustahil. Kolej Mara Kuala Nerang mempunya satu slogan yang sangat saya sukai dan membakar semangat, "The Grade is A, The Number is 4." Kalau slogan ini tersemat, insyallah, masa depan anda terjamin. Jikalau ibu bapa anda mampu membiayai kos pendidikan anda, terdapat 1001 cara lain untuk mendapatkan pendidikan terbaik, sperti Ausmat, A level, IB dan sebagainya.
STPM juga tidak ketinggalan sebagai pintu anda ke dunia baru ini. Namun saya kurang bersutuju sekiranya STPM menjadi tempat pilihan anda kerana anda merasakan anda tidak layak ke mana-mana. STPM tidak mudah. Tetapi jikalau berjaya dalam STPM, laluan anda sangat terbuka. Selain itu, wujud juga institusi-institusi latihan/ vokasional untuk mereka yang merasakan, buku bukan cara pendidikan terbaik. Mereka yang mempunyai kemahiran, sepaptutnya masuk ke institusi2 ini. Antara yang terkenal, IKM, Intitusi Kemahiran Mara. Selepas tamat sijil, anda boleh menyambung pelajaran dalam bidang diminati(diploma dan degree).
Ribuan pilihan tersediakan :) Satu saja pilihan yang aku bangkang, YA, AKU BANGKANG! iaitu bekerja. Bekerja sepenuh masa bukan cara terbaik. Dapatkan pendidikan terlebih dahulu, barulah dapatkan pekerjaan yang terbaik. Tapi perlu diingatkan, pendidikan itu buka pula tiket untuk mendapatkan pekerjaan. Ribuan peluang menyambung peajaran tersedia, mahu atau tidak sahaja.

Kesimpulan
Apa yang aku tulis ini hanyalah berkongsi bersama kalian, sekadar yag diketahui. Ribuan info boleh didapati dalam internet jalur lebar mahupun x berapa nak lebar. Tekan sahaja, macam-maca ada, dengan kerancakan promosi-promosi yang giat dilaksanakan oleh pihak-pihak IPT, sudah tentu maklumat tidak sukar untuk didapati. Aku hanya doakan yang terbaik bagi kalian. Agar kalian bakal menjadi pencetus kejayaan negara. Amin.