Monday 14 January 2013

Gusarnya Hati Anak Bangsa


Gusarnya Hati Anak Bangsa

Rentetan isu politik yang menggelegak sejak 14 tahun lepas sentiasa menghantui minda setiap anak muda terutamanya yang bergelar mahasiswa. Perhimpunan di jalanan bukanlah perkara asing dalam sejarah bangsa ini. Hakikatnya bangsa ini bangsa pemikir, berani bersuara, sentiasa terbuka tapi tiada hilang erti budi bahasa. Nenda kita sudah lama menjelajah jalanan menentang pemerintahan British, malah rapat umum penentangan Malayan Union pada tahun 1946 menggertak hati dan pemikiran penjajah untuh memberi ruang pemerintahan pada anak bangsa. Tidak perlu mengorek rahsia Revolusi Perancis untuk mengerti kuasa perhimpunan rakyat, sejarah bangsa sudah bersuara!

Isu politik adalah isu yang dekat di hati anak muda. Isu yang berlegar dalam minda dan jiwa mahasiswa kerana politik mampu mengubah lanskap pentadbiran, ekonomi dan sosial di masa hadapan, memberi peluang atau meranap harapan anak bangsa. Dari pembentangan bajet tahunan hingga ke audit kerajaan persekutuan dan negeri menarik minat minda-minda muda ini untuk mengambil bahagian dan bersama berfikir. Yang baik dirai bersama, yang celaru dibahaskan semula. Bila tiba detik dan masa bangkit beberapa anak muda melontar suara dan bicara membantu mereka dalam memikul amanah rakyat. Begitulah hendaknya sistem ini patut berjalan, tapi malang sistem juga menjadi korup kerana manusia tamak dan haloba. 

Sistem pendidikan yang menutup minda.
Menjadi impian setiap anak muda untuk bergelar mahasiswa, menuntut ilmu dan mengasah minda. Institusi Pengajian Tinggi atau yang dikenali sebagai Universiti adalah wadah bagi anak muda hidup bersama, sebelum menempuh dunia realiti, menyediakan diri dengan ilmu untuk menyumbang kepada umat manusia. Universiti ini bagaikan kepompong untuk anak bangsa, dipersiapkan dengan zat dan ilmu, sebelum merekah terbang ke udara. Malang bagi kita di zaman ini apabila Universiti itu hanya dipandang sebagai perhentian sementara menghabiskan detik ketika untuk segulung ijazah semata-mata. Universiti telah tertubuh ribuan tahun lamanya, bukan sebagai medan manusia bertarung untuk mengejar dunia material, tetapi untuk manusia berkumpul bersama dengan ilmuwan, membicara akan apa yang tidak mereka ketahui dan membuka perspektif minda terhadap dunia ini. 

Sistem pendidikan yang diamalkan di negara kita melemahkan anak muda yang bergelar mahasiswa. Mereka diasuh dengan sistem berorientasikan peperiksaan yang menyebabkan manusia hanya mengejar gred semata-mata, bukan kefahaman dan pengetahuan. Lebih parah apabila setiap gerak dan tingkah langku mahasiswa dikawal rapi oleh pihak administrasi tanpa ada sedikitpun ruang untuk mereka bebas mengkaji. Birokrasi yang membebankan melemahkan semangat anak muda dan kesannya lahirlah satu generasi yang jahil dan hanya mampu bergantung kepada kerajaan semata-mata. Mahasiswa yang lahir hari ini tidak lebih dari hanya menjadi pak turut. Mereka dinafikan hak bersuara, hak berbicara, tidak boleh melontarkan pandangan, malah percambahan idea baru dimatikan serta merta.

Peranan Mahasiswa
Mahasiswa itu hebat dipandang masyarakat. Mereka mempunyai tempat yang tinggi dalam minda generasi nenda dan ayahanda kita. Malah tidak dinafikan, mahasiswa ini adalah orang-orang yang hebat dan kuat. Namun kehebatan dan kekuatan itu tidak ada nilainya jikalau disalah lentur. Malangnya mahasiswa dilentur dengan 1001 akta, bukan pula dengan ilmu. Penulis juga merupakan mahasiswa, cuma tiada kesempatan bersama bangsanya sendiri menimba ilmu dalam perairan negara. Penulis mengembara jauh ke bumi asing Russia untuk mengenggam apa yang termampu dalam bidang yang tidak wujud dalam negara. 

Melihat karenah rakan-rakan mahasiswa bangsa ini dalam negara dan luar sungguh menggusarkan. Dalam benak mindanya hanya ada permainan komputer, sorotan filem dan drama tv dan juga hati yang deras bercinta. Di akhir kala semester barulah buku dan nota datang dalam hidupnya. Di manakah ruang untuk berfikir? Ke mana pergi kehebatan dalam bicara? Sudah lesapkah kekuatan minda mahasiswa? Mahasiswa sudah tiada perananya dalam masyarakat. Harapan nenda dan ayahanda yang ingin melihat bangsanya bangkit semula mungkin hanya tinggal harapan, jikalau mahasiswa tidak menjalankan peranan mereka.

Mahasiswa sepatutnya menjadi wacana kebangkitan umat, memberi pandangan dan lantang bersuara. Mereka punyai idea-idea yang bernas dan kreatif, mereka mampu mengalir tenaga dan keringat membantu masyarakat dan pidato-pidato mereka penuh bersemangat. Berilah sedikit ruang kepada mahasiswa untuk berfikir, untuk bertindak demi cintakan bangsa ini. Pimpinlah mereka dengan hikmah tatkala mereka berlebihan, berilah mereka didikan realiti agar mereka tiada hilang pedoman. Mahasiswa patutnya menguasai bidang masing-masing dan bukannya hidup demi mengejar ijazah semata-mata. Mungkin ramai yang berfikiran bahawa hidup ini hanyalah berkejaran mendapatkan sekeping ijazah, berlumba-lumba mendapat pangkat dan gaji yang tinggi, berkahwin membina keluarga dan akhirnya rehat untuk selama-lamanya. Ketahuilah hidup ini lebih dari itu, berilah ruang dalam minda dan jiwa yang masih bersemangat itu untuk mengkaji lebih mengenai dunia dan hakikatnya. 

Mengapa gusar?
Dalam setiap detik sebagai pelajar kita ditimpa dengan kesusahan dan cabaran terutamanya dalam menuntut ilmu. Terkadang sehingga hampir-hampir mematahkan semangat ini, tapi inilah ranjau duri dalam perjalanan menuntut ilmu. Namun, tidak habis kesukaran ini dihadapi, sebuah masalah sudah menunggu di hadapan. Melihat kondisi anak muda yang bakal dihadapi apabila pulang kelak membuatkan hati ini terus jatuh rebah, retak semangatnya. Bagaimana masyarakat yang bakal lahir dari generasi ini mampu menerima idea-idea kritis yang terkadang menjangkau luar dari pemikirannya disebabkan oleh kekangan dan sekatan terhadap mereka di saat minda mereka bercambah pantas di usia muda. 

Memikirkan kesan sistem yang membodohkan anak muda hari ini membuat hati anak bangsa ini meracau kesakitan kerana takut tidak mampu berhadapan dengan kejumudan dan kejahilan pemikiran. Masyarakat yang lahir menjadi masyarakat 'pak turut'. Tiada istilah berdikari, tiada istilah bebas. Hidup didiktasi bagai haiwan-haiwan sakras. Mungkin sedikit kasar ayat ini, tapi inilah hakikat realiti kalau tidak ditangani. Hati ini sudah tentu gusar melihat mahasiswa yang lalai dan tiada minat dalam mengenal erti kehidupan sebenar. Bagaimana mampu kita memimpin suatu masyarakat yang dari kecil diasuh dengan sistem yang mementingkan diri sendiri dan material semata-mata. Apakah ada nilai bagi bakal-bakal minda hebat di luar sana dalam masyarakat kelak? Sedangkan hari ini, tatkala masih ada anak muda yang giat bersuara, ramai ahli fikir bangsa ini disekat dan dipecat. Gusar hati ini apabila ramai ahli fikir yang hebat berlari ke seluruh pelusuk dunia kerana bangsanya sudah tidak memerlukan jasanya.

 Apa lagi yang bakal tinggal dalam sejarah bangsa hebat ini? Korupsi? Kroni? Adakah dengan ini kita mahu tamatkan sejarah bangsa?