Thursday 19 April 2012

Dataran 'Tahrir' Merdeka

Minggu ini negara digemparkan dengan sebuah isu baru, #OccupyDataran. Sebenarnya gerakan yang dipopularkan oleh aktivis dan film maker, Fahmi Reza ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah gerakan ini merupakan gerakan yang sedang rancak menggegarkan dataran-dataran utama di seluruh dunia. Dari Wall Street ke London, ribuan manusia yang sudah muak dengan birokrasi dan keangkuhan ahli politik turun ke padang membina parlimen 'rakyat' mereka sendiri. Gerakan #OccupyDataran ini sudah berlanjutan lama, namun ianya mula bertambah hangat apabila kumpulan mahasiswa bersama-sama mereka memperjuangkan sebuah isu yang hangat, yakni Free Education!

Permintaannya mudah, supaya kerajaan turun, mendengar permintaan mereka agar PTPTN dibubarkan dan sistem pendidikan negara kita dijamin percuma. Tapi macam biasa, apabila duduk di negara yang mana media arus perdana dikawal 100 peratus oleh parti memerintah, semua jadi serba tak kena.

Pada mulanya aku lost dalam isu ini, kerana aku berada di luar bandar tatkala isu ini tercetus. Hubungan internet aku juga terputus, maka aku hanya tahu melalui cakap-cakap orang sahaja. Balik rumah, tak buang masa, terus mengkaji dan meniliti isu ini. Isu yang aku ingatkan besarlah sangat, tapi rupanya besar semut api sahaja. Pada mulanya aku berasa kurang senang dengan tindakan para aktivis, yang terlalu berdegil, sedangkan pegawai DBKL begitu baik dengan mereka. Ada yang meninggikan suara walaupun mungkin itulah nada suaranya, tapi aku rasa rimas kerana dia tidak menunjukkan sebarang rasa hormat pada pegawai DBKL tersebut. Maka terlintas di hati aku, #StudentPower apa yang mereka laungkan ini kalau pelajar-pelajar sendiri tidak yakin dengan gerakan mereka ini? Ini merupakan sudut pandangan aku terhadap para aktivis sahaja. Bagaimana mungkin mereka hendak menyakinkan rakyat sekiranya pelajar-pelajar seangkatan masih belum sedar akan isu ini? Tapi bagi aku, ini bukan isu besar, setakat 6 buah khemah di dataran tu, tak mencemarkan langusng pandangan pelancong, mungkin menarik lagi minat pelancong. Setakat 6 buah khemah terpacak, tak rosaknya Dataran Merdeka kesayangan kita tu.

Tapi iyalah, dah duduk negara Malaysia, pantang mencabar kerajaan akan diwawarkan sebagai 'penjahat', tak bertamadun dan sebagainya. Namun aku terus berfikir, aku tidak mahu mengulas lanjut. Perjalanan aku pergi dan pulang ke Unversiti yang mengambil masa hampi 2 jam itu dipenuhi dengan aku memikirkan isu ini sahaja. Tercetus kemusykilan di otak aku, jikalau isu ini sudah dibesar-besarkan, sudah digemburkan oleh semua wartawan, tak kan lah menteri sendiri tidak tahu? Kalau dah tahu, kenapa menteri pengajian tinggi tidak turun sendiri ke padang untuk mendengar apa keluhan dan permintaan mereka? Kenapa menteri tidak menyelesaikan masalah ini dengan cara 'orang matang'? Bukankah itu tugas seorang menteri? PAP! Aku tersedar lagi, ini bukan masalah permintaan dan hak pelajar semata, ini adalah masalah politik yang KOTOR!

Susah sangat ke untuk seorang menteri turun mendengar keluhan pelajar sendiri? Tapi sanggup pula seorang timbalan menteri terbang ke Russia hanya untuk bersama pelajar-pelajar Malaysia di Russia dalam sukan mereka. Bukan aku nak halang, silakan, tapi mereka di Malaysia itu lebih memerlukan anda. Mereka sedang berjuang untuk anak-anak anda, untuk bangsa kita, untuk generasi akan datang. Tapi kerana ego masing-masing, kerana tidak mahu memakan semula kata-kata mereka, tidak mahu mengaku silap mereka, menteri ini lebih rela duduk atas kerusi empuknya memerli-merli pelajar-pelajar yang sedang berpanas terik, berlapar dan membuang segala keselesaan di rumah masing-masing bersama turun ke dataran untuk menyampaikan hasrat yang bagi mereka terbaik untuk negara. Ya pada mulanya aku rasakan cara mereka itu ada salah dan silap, tapi salah silap orang muda. Orang muda ini perlukan bantuan dan tunjuk ajar, maka salah dan silap mereka itu boleh dimaafkan.


Namun hari ke hari, apabila aku ikut perkembangan mereka, nampak kematangan mula ada, malah mereka sendiri cakap yang mereka akan retreat pada hari Konsert DiRaja yang akan diadakan, dan akan kembali bermalam selepas itu. Aku melihat ramai pelajar-pelajar, ibu bapa, orang awam mula sedar akan mesej yang mereka cuba sampaikan, mereka mula faham  bahawa pelajar-pelajar ini hanya mahukan sistem yang terbaik untuk negara mereka yang tercinta, maka bersama mereka turun ke dataran memberi segala jenis bantuan yang diperlukan. Namun dihati aku masih kecewa, kenapa menteri ini masih belum turun ke dataran lagi? Dia tidak sedar ke ini panggilan kerja untuk dia?

Tambah mengejutkan apabila mahasiswa ini diserang oleh samseng-samseng yang bagi aku bagaikan lembu upahan. Tak mungkin orang datang menyerang tanpa punca dan musabab, pasti ada dalang di sebaliknya, dan seperti skrip2 lama parti memerintah, tujuannya sama, untuk menakut-nakutkan orang. Di sini kemuncak segala-galanya. Aku yang bersikap play cool pada mulanya sudah rasa menyampah dengan perbuatan bodoh dan tidak bertamadun ini. Lebih menyakitkan hati, apabila menteri akhirnya bersuara, tapi bersuara memerli yang dipukul, memerli anak muda yang berani keluar dari kepompong keselesaan untuk negara dan bangsa mereka. Menteri ini mengatakan bahawa pelajar-pelajar ini yang mencari nahas. Aku tidak tahu, hendak gelak, atau menangis atau marah. Kata-kata yang bagi aku tidak bertamadun, kurang hajar, dan sangat gangster. Sejak bila turun bersuara itu lebih besar jenayahnya dari gangsterisme?

Hari ini kekuatan mereka yang berkumpul di Dataran Merdeka bukan lagi 20 orang, tapi sudah mencecah ratusan orang. Jikalau menteri sendiri tidak mahu turun, maka pemimpin-pemimpin dari pihak pembangkang telah ke sana bersama dengan pelajar-pelajar ini. Jangan salahkan mana-mana pihak tuan menteri, ini salah kau sendiri, kau yang patut turun terlebih dahulu. Orang-orang muda sudah tidak alasan untuk tidak bersama mereka turun menentang kezaliman ini. Bersama mereka menunutu sebuah sistem pendidikan yang lebih baik untuk negara kita ini.

Aku teringat bagaimana aku taksub mengikut perkembangan di Dataran Tahrir ketika revolusi Mesir pada tahun lepas. 24 jam komputer aku terpasang untuk mendengar dan membaca sendiri live blog dari Dataran Tahrir. Sejak itu aku berdoa, sekiranya Malaysia menerima panggilan ini, berikanlah kekuatan pada pemuda-pemudanya untuk turun bersama mempertahankan negara dari kulprit dan parasit seperti pak menteri itu. Oleh itu aku terpanggil, untuk memanggil semua anak muda yang sedar akan isu ini, turun lah ke Dataran 'Tahrir' Merdeka. Jadikan Dataran Merdeka ini Dataran Tahrir kita.

Bersama kita bangun menentang kezaliman!