Saturday 30 June 2012

Feudalisme, Komunisme dan Ketaatan.

Menjadi adat seorang pengembara untuk melihat dan meneliti suasana sekelilingnya. Setahun menetap di bumi Russia banyak memberi peluang dan ruang untuk berfikir dan membandingkan bekas dunia blok soviet ini dengan tanah air, Malaysia. Beberapa bulan lepas bumi Malaysia digegarkan dengan isu pembelian plat mewah 'WWW 1' oleh sebuah keluarga diraja di Malaysia. Pembelian yang mendapat tentangan dan teguran oleh segelintir masyarakat yang menganggap bahawa pembelian itu merupakan sebuah pembaziran yang amat besar tatkala rakyat di bawah baginda sultan masih ramai hidup dalam kemiskinan dan kepapaan. Apabila satu suara sudah berbicara, pasti akan datang pihak kedua menentang. Untuk memahami isu ini aku terpaksa melihat semula konsep feudalisme yang telah diterapkan dalam diri warga Malaysia khususnya yang berbangsa Melayu.

Gambaran perjanjian yang dimeterai antara rakyat dan raja bertentera

Feudalisme merupakan sebuah sistem yang dipelupuri di Eropah pada abad ke-9 hingga abad ke-15. Rakyat bawahan membuat perjanjian dengan golongan-golongan bangsawan yang selalunya terdiri dari ketua-ketua tentera untuk melindungi rakyat bawahan. Sebagai balasan rakyat ini akan bekerja, menitiskan setiap titisan peluh untuk mereka yang memeterai janji tersebut. Maka dari sini wujudnya sistem Raja yang kita kenal sehingga hari ini. 

Jadi apa kaitannya dengan komunisme? Apa kaitannya dengan persoalan di atas? Persoalan ini yang membuat aku tertanya-tanya dan membuat aku bekerja untuk mencari jawapannya. Untuk memahami erti komunisme yang sebenar kita perlu membuang segala tanggapan buruk yang telah disemai dalam dada kita dari kecil terhadap blok komunis. Pemikiran yang sihat tidak datang dari ideologi yang ditanam, tapi sebaliknya datang dari pemikiran yang kritikal terhadap setiap isu dan permasalahan. Aku tidak mampu menghurai isu yang berkait dengan komunisme sekiranya kita masih dibelenggu dengan ideologi blok barat yang merabunkan kita tentang komunisme.

Komunisme merupakan sebuah sistem yang diperkenalkan oleh Karl Marx tanpa mengira kelas, tanpa mengira pangkat, tanpa mengira harta, atau dalam kata lain sama rata antara semua manusia. Sistem ini berbeza dengan sistem kapitalis yang diperkenalkan di blok barat dan juga di Malaysia. Kapitalis mengajar kita bahawa, mereka yang mempunyai harta akan hidup senang lenang, dan sebaliknya. Sistem komunisme pula menekankan bahawa setiap manusia sama, dan mereka berhak mendapat kemudahan yang sama tanpa mengira pangkat, darjat dan harta. Tatkala blok barat memperkenalkan sistem demokrasi, di mana rakyat memilih wakil rakyat yang ingin diangkat sebagai pemimpin, blok soviet pula mempunyai seorang ketua yang sangat berkuasa. Suka atau tidak, dia merupakan pemimpin untuk semua.

Lambang tukul dan sabit digunakan parti komunis seluruh dunia sebagai tanda sama-rata serta perpaduan antara buruh dan petani mencapai kejayaan

Feudalisme dan komunisme kedua-duanya menyebabkan rakyat meletakkan kebergantungan hidup dan harapan mereka kepada ketua masing-masing. Di negara beraja mereka mengharap perlindungan keselamatan dari Raja masing-masing manakala rakyat di blok soviet pula mengharap akan bantuan dari pemerintah mereka untuk memastikan kelangsungan hidup mereka terjamin. Mungkin perbezaan wujud dari sudut, rakyat di negara beraja bekerja dan memberi hasil kerja itu pada raja-raja mereka, manakala rakyat di blok soviet pula bekerja di tempat-tempat yang disediakan untuk mereka dan menerima upah yang sama rata untuk semua. Tapi kedua-duanya tetap bergantung kepada pemerintah mereka yang tidak mampu mereka goyang, tidak mampu mereka ubah dengan kehendak mereka semata-mata seperti di negara blok kapitalis.

Sudah tentu dalam jangka masa yang sangat panjang, persamaan ini akan membuahkan kesan yang tidak saling tumpah satu sama lain. Abad ke-21 melihat banyak negara beraja telah menjadi negara republik. Tahun ini juga menjadi tahun ke-20 selepas runtuhnya blok soviet. Di Malaysia pula sistem Raja itu pula sudah tidak sama seperti di abad ke 15 lagi. Raja juga terikat pada perlembagaan negara sama seperti rakyat biasa. Namun kesan dari perlaksanaan kedua-dua sistem ini masih tegar bersemadi dalam jiwa sanubari rakyat Malaysia dan Russia. Kebergantungan yang sangat tinggi dan ketaatan yang membabi buta. 

Apabila isu plat mewah ini mula menggegarkan bumi Malaysia, kesan yang ditinggalkan ini mula ditunjukkan oleh rakyat biasa. Tindakan segelintir pihak, bersikap kritikal terhadap keluarga diraja ini adalah perkara yang biasa. Seorang manusia menegur tindakan manusia yang lain bukanlah perkara yang berada luar dari lumrah kehidupan kita. Tapi apabila kita telah mendewakan segelintir manusia yang bergelar Raja mulalah mereka yakni raja-raja diletakkan di tahap yang sangat tinggi, yang tidak boleh disentuh. Ini merupakan kesan yang dibawa berabad lamanya kerana kebergantungan kita kepada raja-raja. Kita terlalu takut bahawa sekiranya kuasa dan tindakan raja-raja Melayu mula dicabar, dipertikaikan, seterusnya rakyat Melayu juga akan dipertikaikan hak dan keistimewaan mereka. 

Adakah kebergantungan ini menjadi sebuah kesalahan? YA! Kerana apabila kita terlalu bergantung kepada manusia yang lain, kita akan menjadi enak dibuai segala pemberian yang diberi sebagai balasan kepada ketaatan kita. Kita tidak akan berusaha untuk memperoleh sesuatu yang lebih kerana kita terlalu yakin akan jaminan oleh pemerintah yang seolah-olah tidak boleh disentuh itu. Situasi ini yang sama dapat dilihat di kalangan penduduk Russia. Di zaman Soviet, duit bukanlah segala-galanya, tanpa duit sekalipun barangan asas kehidupan seprerti makanan dan tempat tinggal telah disediakan oleh pemerintah. Kesannya dapat dilihat apabila masih ramai penduduk Russia terutamanya yang tinggal jauh di perdalaman tidak mempunyai daya tujah ke hadapan untuk membawa diri mereka merentasi segala cabaran dalam dunia selepas kejatuhan blok soviet. 

Kebergantungan tidak datang bersendirian, ianya datang diiringi oleh ketaatan. Sebagaimana rakyat Melayu Melaka menyampaikan ketaatan mereka kepada raja-raja, begitu jugalah taatnya penduduk Russia tatkala di bawah pemerintahan Soviet Union. Disebabkan ketaatan yang telah tersemadi dalam jiwa rakyat Melayu terlalu kuat dan lama, segelintir pihak mula mengambil kesempatan. Kita dapat lihat, di zaman penjajahan British, Dato' Onn Jaafar masuk ke kampung-kampung dengan basikalnya dengan harapan mengurangkan kebergantungan dan ketaatan mereka kepada pihak British. Beliau menyakinkan penduduk Tanah Melayu bahawa kita mampu untuk memerintah dengan tulang dan keringat orang kita sendiri. 

Selepas lebih 50 tahun kita menikmati kemerdekaan, kita masih diperintah di bawah payung yang sama. Kesannya kita sudah mula memberi ketaatan kita di bawah payung mereka sedangkan ini negara demokrasi. Taatnya kita pada sesebuah parti itu menjadi kekuatan kepada pihak yang ingin terus berkuasa dan merompak kekayaan negara. Kita dikaburi dengan sentimen-sentimen untuk menakutkan-nakutkan rakyat bahawa mereka perlu taat kepada kerajaan yang sedia ada, kerana mereka telah banyak berbakti pada negara dan bangsa. Rakyat mula lupa bahawa ketaatan kepada negara itu tidak sama dengan taatnya kita pada sesebuah parti. Parti itu datang silih berganti, tetapi disebabkan kita duduk di sebuah negara yang terlalu lama diperintah oleh sebelah pihak sahaja, kita mula termakan dengan sentimen-sentimen yang dibawa oleh mereka demi menjaga kepentingan diri dan kroni mereka.

Untuk melonjak ke hadapan kita perlu bersikap lebih kritikal dan terbuka kepada teguran setiap manusia. Kita sudah tidak lagi tinggal di abad ke-9 di mana raja itu kebal, raja itu adalah dewa. Kita sudah berada dalam dunia arus globalisasi dan kebergantungan kita tidak boleh disandarkan lagi pada manusia yang lain, melainkan pada diri sendiri dan kepada yang Esa. Taatnya kita bukan pada sebuah parti, sebaliknya taatnya kita pada negara yang sebenarnya hanya tinggal nama.